Billy Gilmour adalah adalah tunjang masa depan Scotland susulan memperagakan persembahan mantap ketika menentang England dalam Euro 2020.

Ketua jurulatih Scotland, Steve Clarke, memuji kelibat pemain itu selepas membantu pasukannya mempamerkan prestasi mengagumkan untuk menghidupkan harapan mereka mara ke pusingan 16 apabila buntu tanpa jaringan di Wembley, awal pagi tadi.

Prospek Chelsea berusia 20 tahun itu dinamakan dalam barisan utama buat kali pertamanya di peringkat antarabangsa untuk kejohanan besar -- keputusan 0-0 pertama di antara kedua-dua negara itu dalam 33 pertemuan di Wembley.

Walaupun masih mentah, Gilmour, tenang memimpin bahagian tengah Scotland dengan mencipta 44 hantaran, 40 hantaran lolos sementara 24 hantaran dalam separuh lawan.

Dia juga merampas bola sebanyak lapan kali, lebih banyak daripada pemain lain di atas padang.

Maka tidak hairanlah Gilmour menerima tepukan gemuruh daripada peminat Scotland ketika dia digantikan oleh Stuart Armstrong di penghujung perlawanan.

Lantas, Clarke amat gembira dengan apa yang telah dilihatnya.

"Ia sesuatu yang manis buatnya membuat penampilan pertama di pelantar sebesar ini -- Billy adalah pemain utama," kata Clarke.



"Sudah lama saya katakan bahawa dia akan menjadi sebahagian besar masa depan bola sepak Scotland.

"Kami tahu apa yang kami ada di kem ini, kami akan berusaha untuk menguruskan dan menjaganya. Persembahan seperti ini tidak akan menjejaskannya.

"Stephen O'Donnell juga beraksi luar biasa dan Billy berada di belakangnya.

"Mendapatkan khidmat Kieran Tierney untuk memperkemaskan barisan tiga pertahanan dan menjadikan Scott McTominay di sana (di pertahanan) menawarkan kami ruang untuk mengatur permainan dari belakang. Billy Gilmour dan Callum McGregor (di midfield) berupaya mengawal bola dengan baik.

"Kami menyedarinya apabila berkunjung ke sini. Kami tidak boleh duduk dan bertahan selama 95 minit semata-mata.

"Kami sedar sebaik kami memiliki bola, kami harus memanfaatkannya dan berusaha untuk menciptakan peluang.

"Itulah yang berjaya kami lakukan."