Georginio Wijnaldum akan mengenakan lilitan lengan pelangi ketika mengetuai Belanda bertemu Republik Czech di Budapest, Isnin ini, sambil memberi amaran bahawa dia dan rakan sepasukannya sedia meninggalkan padang jika mereka menjadi subjek kecaman.

"UEFA (Persatuan Bola Sepak Eropah) perlu melindungi pemain dan bertegas," katanya.

"Ia tidak boleh diserahkan kepada pemain sahaja. Pemain sering dihukum kerana melindungi diri sendiri, jadi UEFA perlu memainkan peranan utama dalam hal ini.

"Saya telah mengatakan bahawa saya tidak pasti bagaimana saya akan bertindak balas dalam situasi seperti ini. Pada mulanya saya sedia mengambil pendekatan meninggalkan padang tetapi ketika ini mungkin tidak kerana barangkali lawan akan berfikir: 'Biarkan mereka diejek perkauman (di depan khalayak) kerana ia akan mendorong mereka bertindak keluar padang '.

"Mungkin saya akan bertindak sedemikian tetapi saya masih perlu berbincang dengan barisan pemain terlebih dahulu."



Hungary bertindak keras terhadap kempen 'LGBTQ' apabila meluluskan undang-undang yang melarang perkongsian kandungan yang boleh dianggap mempromosikan homoseksual dan pertukaran jantina di sekolah.

Percubaan warga bola sepak untuk menunjukkan sokongan juga menimbulkan kontroversi dengan UEFA melancarkan siasatan ke atas penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer, yang mengenakan lilitan pelangi sebelum mengakui motifnya ialah sebagai "simbol pasukan bagi meraikan kepelbagaian".

Namun, badan induk itu tidak mengizinkan Stadium Allianz Arena Munich menyalakan warna tersebut bagi perlawanan terakhir Kumpulan F menentang Hungary, kelmarin, kerana ia berkaitan isu politik.

"Ia bukan hanya menentang Hungary," kata bekas pemain Liverpool itu lagi.

"Lilitan lengan ini sangat bermakna kerana kami memperjuangkan kepelbagaian -- satu cinta bermaksud semua orang adalah sebahagian daripadanya dan setiap orang harus bebas untuk menjadi diri sendiri.

"Pada pendapat kami, hak untuk menjadi diri sendiri telah dicerobohi.

"Sebagai pemain, kami mempunyai pelantar untuk melakukan apa sahaja yang boleh kami bantu."

UEFA turut melancarkan siasatan terhadap dakwaan bahawa bintang Perancis, Kylian Mbappe, dan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, menjadi mangsa perkauman dan homofobia dalam penampilan mereka di Budapest.