Christian Eriksen telah dihantar ke hospital dan 'distabilkan' selepas tumbang dalam perlawanan awal pagi tadi, demikian diumumkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Kesatuan Bolasepak Denmark menambah pemain tengah Inter Milan itu "sedar" dan akan menjalani "pemeriksaan lanjut" selepas tumbang tanpa sentuhan sebarang pemain lain di sekelilingnya dalam perlawanan pembukaan negaranya menentang Finland di Compenhagen.

Rakan-rakan sepasukannya dan pengadil, Anthony Taylor, menggesa pasukan perubatan untuk segera masuk ke padang dan pemain lain membuat tembok perlindungan di sekeliling mereka ketika usaha menyelamatkan pemain itu.

UEFA kemudian mengesahkan perlawanan itu ditunda "atas sebab kecemasan kesihatan".

Laporan lanjut mengesahkan bahawa Eriksen sudah berada di Hospital dan kedua-dua pasukan bersetuju untuk menyambung semula permainan selepas hampir dua jam ditangguhkan.

UEFA berkata: "Pemain itu (Eriksen) telah dihantar ke hospital dan telah distabilkan."

Aksi di Copenhagen menyaksikan Finland memperoleh tiga mata pertama hasil jaringan tunggal Joel Pojanpalo.