Christian Eriksen tidak dijangkiti COVID-19 dan belum menerima suntikan vaksin, menurut pengarah pasukan kelab bintang Denmark itu, Inter Milan.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu tumbang di penghujung babak pertama dalam perlawanan pembukaan Euro 2020 menentang Finland di Stadium Parken, Copenhagen, awal pagi tadi.

Dia segera diberi rawatan kecemasan jantung yang digambarkan telah "menyelamatkan nyawanya" oleh doktor pasukan Denmark, Morten Boesen.

Pemain kedua-dua pasukan termasuk peminat di stadium dan di seluruh dunia terpaku sebaik menyaksikan Eriksen terbujur di atas padang.

Namun, Eriksen kemudian kembali tersedar ketika diusung keluar dan perkembangan terbaru melaporkan pemain itu "telah terjaga dan stabil" di hospital.

Ahli kardiologi di bekas kelab Eriksen, Tottenham, sempat memberikan pandangannya dalam wawancara dengan sebuah akhbar Inggeris hari ini.

Sanjay Sharma, dari St. George's University of London, menjelaskan bahawa Eriksen tidak pernah mengalami masalah jantung ketika sepanjang di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Dalam masa sama, beras rakan sepasukannya di Tottenham, Song Heung-min menujukan jaringannya ke atas Lubnan kepada Eriksen.




Heung-min menyempurnakan sepakan penalti dalam separuh masa kedua, membantu Korea Selatan menewaskan Lubnan 2-1, kemudian meluru ke arah kamera dengan membuat isyarat jari nombor 23 -- angka jersi pilihan Eriksen ketika di kelab yang berpangkalan di London itu sambil mengucapkan 'aku sayang kamu' sebaik mendekati lensa kamera di tepi padang.