Harry Maguire sudah cukup cergas untuk diturunkan England menentang Scotland dalam perlawanan Euro 2020 di Wembley awal pagi esok, demikian disahkan Gareth Southgate.

Bagaimanapun, pengurus itu masih belum membuat keputusan sama ada pertahanan tengah berkenaan akan diturunkan sebagai kesebelasan utama atau tidak.

Maguire tidak pernah beraksi sejak mengalami kecederaan buku lali ketika Manchester United menewaskan Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal bulan lalu.

Bagaimanapun, dia tetap disenaraikan dalam skuad England bagi kempen Euro 2020 dan berdasarkan perkembangan terkini yang dikongsikan pengurus pasukan kebangsaan itu, Maguire hampir pasti akan kembali diturunkan dalam masa terdekat.

Southgate berkata: "Harry akan terlibat dengan perlawanan esok. Keputusan yang kami perlu buat adalah sama ada dia akan memulakan perlawanan itu atau tidak tetapi kami amat gembira dengan perkembangannya.

"Dia sudah berlatih bersama pasukan kami sepanjang empat atau lima hari lalu dan semakin yakin dalam setiap sesi yang disertainya.

"Saya fikir dia sedang berada di landasan yang baik. Sudah pasti kami mahu semua pemain dapat diturunkan, ia menyebabkan kesukaran dalam memilih pemain pagi ini memandangkan kami mempunyai 26 pemain yang sedang berlatih dan ia merupakan situasi yang hebat buat kami," katanya.