ENGLAND 0 SCOTLAND 0

Engand gagal mengesahkan kemaraan lebih awal ke pusingan kalah mati Euro 2020 selepas terikat 0-0 dengan Scotland di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Skuad Three Lions itu menuju ke perlawanan berkenaan sebagai pasukan pilihan untuk menang, terutama berdasarkan nasib berbeza kedua-dua pasukan itu dalam perlawanan pertama tetapi Scotland mempamerkan semangat juang tinggi sejak wisel pemulaan untuk meraih satu mata pertama -- kali pertama kedua-dua pasukan itu seri tanpa jaringan daripada 33 perlawanan di Wembley.

Scotland, secara mengejutnya, mencipta lebih banyak peluang dalam babak pertama berbanding England, yang kelihatan tidak bersemangat di bahagian depan dengan Harry Kane mempamerkan mutu permainan yang amat mengecewakan buat skuad kendalian Gareth Southgate itu.

Keputusan seri berkenaan bermakna kedua-dua pasukan itu perlu menentukan nasib mereka dalam perlawanan terakhir Kumpulan D, Rabu depan.



Pertahanan tengah, John Stones mempamerkan prestasi terbaiknya buat England pada awal permainan di mana dia menghadang percubaan baik daripada Che Adams sebelum melakukan tandukan ke arah gawang lawan tidak lama selepas itu.

England tidak dapat menghasilkan percubaan lain selepas itu dengan Kane dan Phil Foden kerap berada di kedudukan ofsaid dan melakukan percubaan yang tersasar sepanjang babak pertama -- kali pertama sejak November 2014 pasukan Three Lions itu gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat sepanjang separuh masa pertama satu kejohanan kompetitif.

Mason Mount hampir memecahkan kebuntuan pada awal babak kedua tetapi percubaannya dari jarak 20 ela ke penjuru kiri bawah gawang ditolak keluar David Marshall.

Reece James kemudian menanduk keluar percubaan Lyndon Dykes walaupun berdasarkan ulang tayang, percubaan itu lebih menghampiri tiang gol daripada jaring lawan.

Seterusnya, England akan bertemu Republik Czech manakala Scotland pula akan berdepan Croatia dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D awal pagi Rabu depan.