Kapten England, Harry Kane, gembira di sebalik kejayaan pasukannya mengatasi Ukraine 4-0 dalam aksi suku akhir Euro 2020 di Rom, awal pagi tadi.

Dua gol Kane serta jaringan daripada Harry Maguire dan Jordan Henderson menghantar England ke separuh akhir bertemu Denmark di Wembley awal pagi Rabu ini.



Kini Kane menggesa rakan senegaranya untuk mengambil saat ini dan melangkah lebih jauh berbanding apa yang dicapai dalam Piala Dunia 2018, di mana mereka tewas dalam separuh akhir kepada Croatia.

"Persembahan yang cukup mantap," kata Kane. "Kami merupakan pilihan untuk memenangi perlawanan dan terdapat tekanan terhadap kami, tetapi kami berjaya memperoleh keputusan yang diinginkan.

"Sekarang kami melangkah ke separuh akhir, tetapi kami berada di landasan yang tepat. Kami harus kembali pulih dan memastikan kami bersiap sedia untuk bertemu Denmark."


"Sebelum kejohanan bermula, kami telah meletakkan sasaran untuk memperbaiki pencapaian Piala Dunia, kami berjaya mara ke separuh akhir di Russia, separuh akhir dalam Liga Negara-Negara dan sekarang Euro.

"Tugasan belum berakhir. Masih banyak lagi yang perlu dipamerkan.

"Saya bangga memimpin pasukan ini dan semoga kami berjaya ke final Euro Rabu ini."