Harry Kane menafikan dakwaan bahawa England terlalu merendah diri menjelang final Euro 2020, di mana skuad kendalian Gareth Southgate itu akan sekali lagi "memecahkan sempadan" untuk bertemu Itali awal pagi esok.

England menyasarkan untuk menjulang mahkota kejuaraan utama buat kali pertama sejak Piala Dunia 1996 -- kemarau 55 tahun yang menyaksikan mereka tidak pernah melepasi peringkat separuh akhir mana-mana kejohanan.

Bagaimanapun, jaringan kemenangan Kane ke atas Denmark, Khamis lalu memastikan laluan mereka ke final Kejohanan Eropah dengan kelebihan beraksi menentang Azzurri di laman sendiri di Stadium Wembley.

Barisan kendalian Southgate itu menamatkan penantian panjang negara mereka untuk ke final tetapi Kane menegaskan bahawa bersikap "rendah diri dan menghormati" bukan bermakna mereka tiada keupayaan untuk menyelesaikan tugas besar itu awal pagi esok.

Ditanya dalam sidang media sebelum perlawanan sama ada England bersikap terlalu merendah diri, kapten England itu berkata: "Tidak, saya tidak fikir seperti itu.

"Itu adalah perwatakan kebanyakan pemain dalam skuad ini, mereka rendah diri dan amat menghormati tetapi kami ada tumpuan dan keazaman untuk menang, kami telah menunjukkannya dalam kejohanan lalu dan kali ini, memecahkan sempadan yang sudah ada sejak sekian lama.

"Dalam bola sepak moden, ia tidaklah sentiasa mengenai permainan minda sebelum perlawanan dan kemudian terlalu terbawa-bawa sehingga di luar kawalan.

"Kami mempunyai misi sebenar mengenai apa yang kami mahukan. Tanpanya dan tanpa mentaliti kemenangan yang dimiliki, kami tidak akan berada di tahap ini," katanya.