AUSTRIA 3 MACEDONIA UTARA 1

Austria akhirnya mendaftarkan kemenangan pertama dalam Kejohanan Eropah apabila menewaskan pasukan yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan utama, Macedonia Utara, 3-1 di Bucharest awal pagi tadi.

Pemain gantian, Michael Gregoritsch dan Marko Arnautovic, kedua-duanya menjaringkan gol dalam 12 minit terakhir bagi memastikan skuad bimbingan Franco Foda itu meraih tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan C, Euro 2020.

Selepas Finland mencipta kejutan dengan menewaskan Denmark 1-0 dalam penampilan pertama mereka semalam, Macedonia Utara hampir melakukan perkara sama untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata menetang lawan yang menewaskan mereka dua kali di peringkat kelayakan.

Goran Pandev, 37, menjadi pemain kedua tertua menjaringkan gol dalam sejarah Euro menerusi jaringannya ketika mengikat kedudukan pada minit ke-28 selepas Stefan Lainer meletakkan Austria di depan 10 minit sebelumnya.

Arnautovic dibawa masuk daripada bangku pemain simpanan bagi menginspirasikan kemenangan Austria tetapi seorang lagi pemain gantian, Gregoritsch, terlebih dahulu menemui sasaran apabila penyerang Augsburg itu berlari ke arah near-post sebelum menyumbat masuk bola hantaran David Alaba dari sebelah kiri

Sedikit harapan untuk Macedonia merencana kebangkitan musnah sebaik Arnautovic mempamerkan penyudah tenangnya bagi mengatasi penjaga gol, Stole Dimitrievski, pada minit ke-89.

Kedua-dua pasukan akan meneruskan aksi Khamis ini dengan Macedonia Utara akan kekal di Bucharest bagi perlawanan menentang Ukraine manakala Austria pula akan ke Amsterdam untuk bertemu Belanda.