ITALI 1 ENGLAND 1
(Itali juara selepas menang penentuan penalti 3-2)

Gianluigi Donnarumma muncul wira kemenangan Itali apabila penjaga gol itu menyelamatkan sepakan Bukayo Saka untuk pasukannya menewaskan England 3-2 dalam penentuan penalti selepas masa sebenar final Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi tadi berakhir 1-1.

Jordan Pickford turut menyelamatkan dua sepakan penalti Itali dalam penantuan itu tetapi Donnarumma bertindak lebih cemerlang dalam memastikan kejuaraan Eropah kedua buat Azzurri.

Ia perlawanan final yang bermula dengan amat baik buat England apabila pertahanan kiri, Luke Shaw, menjaringkan gol paling pantas dalam sejarah final Kejohanan Eropah.

Shaw melepaskan satu sepakan voli hasil hantaran lintang Kieran Trippier untuk meletakkan skuad Three Lions itu di depan dalam tempoh seminit 57 saat selepas wisel permulaan.

Bagaimanapun, tekanan yang diberikan Itali selepas itu membuahkan hasil apabila Leonardo Bonucci menemui jaringan penyamaan pada minit ke-67 sebelum perlawanan akhir itu terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Pengurus England, Gareth Southgate, memasukkan dua pemain gantian, Marcus Rashford dan Jadon Sancho, pada lewat permainan tetapi kedua-duanya gagal menewaskan Donnarumma dalam penentuan penalti sebelum penjaga gol Itali itu menghancurkan hati penyokong England di laman sendiri dengan menyelamatkan sepakan terakhir Saka, sekali gus menamatkan penantian kejuaraan Eropah buat Azzurri sejak 1968.