Euro 2020: Dolberg tidak percaya jaring dua gol 'gila' buat Denmark

Muzaffar Musa
Jun 27, 2021 06:21 MYT
Kasper Dolberg menyifatkan dua gol yang dijaringkannya ke atas Wales merupakan sesuatu yang "benar-benar gila" selepas membantu Denmark layak ke suku akhir Euro 2020 hasil kemenangan 4-0 awal pagi tadi.
Penyerang Nice itu menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa untuk memastikan Denmark mengungguli pertemuan pusingan 16 di Arena Johan Cruijff itu, tempat di mana dia pernah mewakili Ajax selama tiga tahun.
Dengan kejayaan itu, Dolberg menjadi pemain Denmark kedua menjaringkan dua gol dalam pusingan kalah mati kejohanan utama selepas Henrik Larsen melakukan perkara sama ke atas Belanda pada 1992.
Tambahan dua gol daripada Joakim Maehle dan Martin Braithwaite yang mengapit kad merah buat pemain Wales, Harry Wilson, menyaksikan pasukan kendalian Kasper Hjulmand itu mencipta kejutan melalui amukan empat gol mereka di Amsterdam.
Dolberg, yang menjadi pemain Denmark termuda menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati Euro, menerima anugerah pemain terbaik perlawanan itu dan bergelut untuk meluahkan perasaannya.
"Ia benar-benar gila. Saya sebenarnya tidak tahu apa yang sedang saya rasakan. Ini sememangnya satu perkara gila. Ia sukar dipercayai.
"Ia bermula di sini sewaktu saya bersama Ajax dan untuk bermain di sini semula dengan kejayaan seperti ini, ia benar-benar gila," katanya kepada saluran TV Denmark, DR.
#bola sepak #Denmark #Wales #Kasper Dolberg #EURO 2020