Didier Deschamps berkata dia bersedia untuk mengekalkan jawatannya selaku ketua jurulatih Perancis menjelang tarikh luput kontraknya tahun depan.

Deschamps membimbing Perancis layak ke final Kejohanan Eropah dan memenangi Piala Dunia sepanjang sembilan tahun mengendalikan skuad Les Bleus itu.

Dia juga menjadi individu ketiga -- selepas Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer -- pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih pada ketika dia juga boleh mencipta satu lagi sejarah jika dapat membawa Perancis menjuarai Euro 2020 bermula pertengahan bulan ini.

Jika Perancis dapat mengatasi pencapaian naib juara edisi 2016, Deschamps akan menjadi individu pertama memenangi Euro dan Piala Dunia selaku pemain dan jurulatih.

Bagaimanapun, ia mungkin menjadi Kejohanan Eropah terakhirnya bersama Perancis memandangkan kontraknya akan tamat selepas Piala Dunia pada penghujung 2022.

Deschamps, bagaimanapun, tidak merancang untuk meninggalkan jawatannya selagi dia mendapat kepercayaan daripada Persatuan Bolasepak Perancis (FFF).

"Saya mungkin meneruskannya selepas 2022 dengan persetujuan daripada presiden saya," kata Deschamps kepada RTL.

"Mereka pasti mahu mengekalkan saya dan untuk mendapatkannya anda memerlukan keputusan yang baik. Saya akan melakukan beberapa perkara lain pada masa sama tetapi saya semakin berkembang dalam peranan selaku pengurus.

"Saya mempunyai kontrak sehingga 2022 tetapi hari ini, saya tidak pernah memikirkan untuk menjadi jurulatih di peringkat kelab. Saya amat gembira dengan setiap syarat yang telah dipenuhi," katanya.

Perancis akan menghadapi perlawanan persahabatan terakhir menentang Bulgaria awal awal pagi lusa sebelum memulakan saingan Euro 2020 dengan menentang Jerman pada 15 Jun ini.

Les Bleus kemudian akan menghadapi Portugal -- pasukan yang menewaskan mereka dalam final edisi lalu -- sebelum bertemu Hungary dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.