Denmark mendapatkan beberapa saranan daripada Christian Eriksen untuk mengekang Romelu Lukaku menjelang perlawanan menentang Belgium dalam Kumpulan B, Euro 2020 awal pagi esok.

Pasukan kendalian Kasper Hjulmand itu akan kembali beraksi buat kali pertama selepas melihat Eriksen rebah kerana serangan jantung dalam separuh masa pertama perlawanan pembukaan menentang Finland, di mana mereka kemudian tewas 0-1 hujung minggu lalu.

Perancang Inter Milan itu bertuah kerana terselamat daripada insiden itu dan kini dalam keadaan stabil menjalani rawatan di hospital

Bagaimanapun, Hjulmand memberitahu wartawan bahawa beberapa saranan daripada Eriksen mengenai rakan sepasukannya di San Siro, Romelu Lukaku, amat berharga buat Denmark menjelang perlawanan itu.

Lukaku menjaringkan dua gol ketika Begium menewaskan Russia 3-0 dalam perlawanan pembukaan mereka dan mendedikasikan gol pertamanya buat teman rapatnya, Eriksen.

Jaringan itu turut menjadikannya sebagai pemain kedua Belgium menjaringkan gol dalam dua edisi Kejohanan Eropah selepas Jan Ceulemans melakukan perkara sama pada 1980 dan 1984.

"Dengan ketiadaan Eriksen, kami perlu melakukan perkara berbeza tetapi Belgium perlu menjadi pasukan terbaik untuk menewaskan kami," kata ketua jurulatih Denmark itu.

"Kami perlu memastikan Lukaku tidak dapat terlibat sebanyak mungkin.

"Apabila dia mendapatkan bola, dia tidak dapat dihalang.

"Eriksen -- rakan sepasukannya di Inter -- juga menjelaskan betapa berbahayanya pemain itu kepada kami," katanya.



Belgium akan turun beraksi tanpa Timothy Castagne selepas pertahanan sayap itu mengalami kecederaan retak soket mata ketika berdepan Russia.

Bagaimanapun, Kevin De Bruyne, yang mengalami kecederaan sama, sudah kembali ke padang latihan manakala Axel Witsel (kecederaan Achilles) dijangka akan diletakkan di bangku pemain simpanan.

Selain Eriksen, kesemua pemain Denmark dilaporkan menjalani latihan tetapi Hjulmand berkata dia perlu menilai tahap kecergasan pemainnya untuk menentukan barisan yang akan diturunkan.

"Ia pasti akan menjadi pelawanan yang penuh emosi bukan sahaja buat kami tetapi juga buat Eriksen," tambahnya.