Penjaga gol Manchester United, Dean Henderson, terpaksa menarik diri daripada kempen Euro 2020 bersama England gara-gara masalah pinggul dan Aaron Ramsdale dinamakan sebagai penggantinya.

Henderson memiliki catatan menyelamat tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding semua penjaga gawang yang pernah beraksi 10 atau lebih perlawanan sepanjang musim 2020-21 -- 76.47 peratus dalam 13 penampilannya untuk United.

Dia dilabel sebagai pesaing utama Jordan Pickford untuk merebut tempat dalam TheThree Lions, tetapi kejohanan ini sudah berakhir buat Henderson.

Peraturan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bermakna England -- seperti negara lain -- diizinkan membuat pertukaran penjaga gol atas alasan perubatan, misalnya akibat kecederaan.

Persatuan Bola Sepak (FA) menjelaskan kecederaan itu membatasi penglibatan pemain berkenaan dalam latihan.

"Penjaga gol Manchester United akan kembali ke kelabnya untuk membuat penilaian dan pemulihan lebih lanjut bagi menghadapi musim 2021-22," jelas FA.

Pemain Sheffield United, Ramsdale, merupakan pemain yang boleh dipercayai pengurus England, Gareth Southgate, sementara Sam Johnstone hampir pasti bertindak sebagai pelapis Pickford untuk pertembungan menentang Scotland dalam Kumpulan D di Wembley, Sabtu ini.

Ramsdale, yang setaraf tonggak West Brom yang tersingkir daripada EPL, Johnstone, mempunyai peratusan menyelamat ketiga tertinggi antara penjaga gol EPL (minimum 10 permainan) pada 2020-21, iaitu 69.86 peratus.




Catatan itu meletakkannya di belakang Henderson dan pemain Burnley, Nick Pope, yang cemerlang dengan 75.33 peratus.

Bagaimanapun, Pope juga tercicir dalam Euro 2020 kerana kecederaan.

Ramsdale, yang memperkuatkan The Blades sepanjang musim ini, mempunyai rekod lebih baik daripada Pickford iaitu 69,77 peratus.

Johnstone paling kerap menyelamatkan situasi berbahaya berbanding pemain lain di posisinya di England dengan 166 kali, 19 kali lebih banyak daripada Ramsdale yang berada di tempat kedua.