Matthijs de Ligt akan kembali memperkuatkan Belanda menjelang pertemuan menentang Austria dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Euro 2020 awal pagi esok selepas disahkan pulih daripada kecederaan.

Pertahanan tengah Juventus itu tidak dapat beraksi ketika Oranje menewaskan Ukraine 3-2 dalam perlawanan pembukaan gara-gara kecederaan kelangkang dan bahagian benteng pasukan itu kelihatan rapuh tanpanya.

Ukraine sebelum ini gagal menemui sasaran sepanjang 72 percubaan terakhir dalam Euro sebelum Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk menjaringkan gol yang hanya berselang empat minit dan enam saat dalam perlawanan pertama itu.

Kedua-dua jaringan itu memadamkan kelebihan 2-0 Belanda sebelum Denzel Dumfries memastikan tiga mata pertama buat pasukan bimbingan Frank de Boer itu menerusi gol tandukannya pada minit ke-85.

Belanda merekodkan purata garisan pertahanan sejauh 52.1 meter dari gawang mereka dan ia bermakna, walaupun mereka mendominasi penguasaan bola, mereka berpotensi terperangkap dengan cara permainan sendiri.

Tetapi keadaan itu diharapkan dapat bertambah baik dengan kemasukan semula De Ligt menjelang pertemuan dengan Austria, yang menunjukkan corak permainan menyerang ketika menewaskan Macedonia Utara 3-1 dalam perlawanan pertama hujung minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada De Ligt akan kembali diturunkan dalam perlawanan itu atau tidak, De Boer berkata kepada wartawan: "Benar, dia akan bermain, tiada kesangsian mengenainya. Adakah anda dapat lihat kesangsian di mata saya? Tetapi saya tidak dapat memberitahu anda (siapa yang akan digugurkan)."