Kevin De Bruyne tidak gusar dengan sebarang kesan daripada kecederaan muka yang dialaminya menjelang Euro 2020 sebaik turun mewakili Belgium dalam kejohanan itu.

Bintang Manchester City itu mengalami retak tulang hidung dan soket mata kiri selepas berlaga dengan pemain Chelsea, Antonio Rudiger dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bulan lalu.

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak menghalangnya untuk tampil bersama skuad kendalian Roberto Martinez, yang menjelaskan pemain berusia 29 tahun itu hanya perlu menjalani "rawatan kecil" -- bukannya pembedahan penuh -- untuk melindungi kawasan yang terjejas dan tidak perlu memakai pelindung muka ketika beraksi.

Selepas terlepas aksi ketika Belgium memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-0 ke atas Russia, De Bruyne diturunkan dari bangku pemain simpanan untuk menginspirasikan kebangkitan pasukannya sewaktu menewaskan Denmark kelmarin, di mana dia mebantu jaringan penyamaan Thorgan Hazard sebelum menjaringkan gol kemenangan.

Dengan Belgium telah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16, mereka akan berdepan Finland di Saint Petersburg awal pagi Selasa ini dan De Bruyne mahu memanfaatkan perlawanan itu untuk mendapatkan tahap kecergasan dan permainan terbaik tanpa memikirkan mengenai kecederaannya.

"Ia berasa sedikit tidak selesa tetapi saya sudah biasa dengannya sekarang," katanya dalam sidang media.

"Saya juga sudah kurang berasa takut dalam perebutan bola di udara. Apabila saya berada di atas padang, saya tidak memikirkannya lagi.

"Saya juga tidak marah kepada Rudiger, ia salah satu perkara yang boleh berlaku di atas padang. Dia mencuba untuk menghalang saya, bukan untuk mematahkan hidung saya dan saya tidak bernasib baik ketika itu.

"Saya sedar saya tidak akan dapat beraksi dalam perlawanan pertama menentang Russia tetapi yakin akan mendapatkan beberapa minit ketika menentang Denmark.

"Saya fikir dengan bermain 45 minit dalam perlawanan itu dan seterusnya memulakan permainan ketika menentang Finland selepas ini, ia merupakan sesuatu yang ideal untuk kembali mendapatkan rentak.

"Saya rasa gembira dapat kembali beraksi dan setengah jam pertama berlangsung dengan amat baik.

"Selepas itu, ia menjadi sukar tetapi ia merupakan perkara normal kerana saya beraksi dalam perlawanan pertama sejak tiga minggu lalu. Saya harap dapat bertahan dengan lebih lama ketika berdepan Finland nanti," katanya.