Portugal menerima tamparan hebat menjelang kempen Euro 2020 selepas Joao Cancelo diuji positif COVID-19 dan tempatnya akan digantikan dengan Diogo Dalot.

Bek kanan Manchester City itu mengharungi musim yang luar biasa bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut dan dilabel sebagai bintang utama Portugal yang berhasrat mempertahankan mahkota Eropah mereka berkenaan.

Dia mencetak satu gol dan mencipta satu lagi peluang gol ketika Portugal menamatkan persiapan mereka dengan kemenangan 4-0 ke atas Israel dalam aksi pemanas badan, Khamis lalu.

Namun, pemain berusia 27 tahun itu didapati dijangkiti pandemik berkenaan dan kini sedang menjalani kuarantin.

Baki ujian ke atas keseluruhan pasukan itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kes positif yang lain.


Berdasarkan peraturan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Portugal dibenarkan menggantikan Cancelo dengan pemain pertahanan Manchester United, Dalot, yang menghabiskan saingan musim lalu dipinjamkan ke Milan.

"Pemain antarabangsa B-21, Diogo Dalot, akan menyertai dengan rombongan pasukan kebangsaan di Budapest bagi penampilan pertamanya dalam Euro 2020," demikian satu kenyataan yang dikeluarkan Portugal.

Pasukan kendalian Fernando Santos itu memulakan kempen mereka berdepan Hungary dalam Kumpulan F pada Rabu depan sebelum menentang Jerman, empat hari kemudian dan melengkapkan perlawanan Kumpulan F menentang juara dunia, Perancis.