Cristiano Ronaldo menyamai rekod dunia milik Ali Daei dengan 109 gol peringkat antarabangsa selepas menjaringkan dua gol ketika Portugal mengikat Perancis 2-2 dalam Euro 2020 awal pagi tadi.

Kapten Portugal itu menjaringkan gol keempat dan kelimanya dalam edisi kali ini untuk menyamai catatan milik legenda Iran, Daei, yang rekod jumlah gol dihasilkannya tidak pernah terusik sejak mengumumkan persaraannya pada 2006.

Gol pembukaaan Ronaldo dalam perlawanan itu juga memastikannya mengatasi rekod Miroslav Klose selaku pemain yang menjaringkan gol terbanyak dalam Piala Dunia dan Kejohanan Eropah, bahkan melebarkan rekod itu kepada 21 gol menerusi jaringan keduanya.

Gol penyamaannya itu juga memastikan Portugal layak ke pusingan 16 selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan F dan akan berdepan Belgium di Seville awal pagi Isnin ini.