Cristiano Ronaldo akan menjadi orang yang menjadi tumpuan awal pagi esok, tetapi Roberto Martinez mengatakan Belgium tidak mampu hanya fokus kepada bintang Portugal itu sahaja.

Ronaldo menyamai rekod jaringan terbanyak di peringkat antarabangsa dengan Ali Daei (109) dengan dua jaringan menerusi sepakan penalti ketika bertemu Perancis bagi menghantar Portugal ke pusingan kalah mati Kejuaraan Eropah.

Namun, Martinez menegaskan Ronaldo tidak akan menerima tumpuan istimewa dalam perlawanan pusingan 16 itu.

"Apabila anda membuat rancangan menentang pemain tertentu, anda akan dihukum pemain lain," kata ketua jurulatih Belgium itu dalam sidang media.

"Cara Portugal bermain, mereka memiliki banyak ancaman, mereka memiliki dibarisi pemain yang memiliki kepantasan.

"Sememangnya Cristiano Ronaldo adalah pemain yang sentiasa menghadirkan keputusan positif, hantaran dan peluang yang tepat, anda harus sentiasa sedar dengan kehadirannya, tetapi anda masih perlu bertahan berhadapan 10 lagi pemain Portugal dengan cara yang sama.

"Kami perlu kompak, kami harus mempamerkan aksi mantap, dan kami perlu bertahan sebagai satu pasukan.

"Jelas sekali kami selalu memikirkan tentang pasukan lawan dan itu selalu berlaku, anda mesti mempunyai maklumat itu, tetapi saya berasakan kami memiliki momentum yang sangat baik dan di situlah kami menumpukan perhatian."