Pertahanan sayap Belgium, Timothy Castagne, terpaksa melupakan baki kempen Euro 2020 selepas mengalami dua retakan di soket mata kanannya.

Pasukan kendalian Roberto Martinez itu membuka kempen Euro 2020 dengan kemenangan 3-0 ke atas Russia awal pagi tadi tetapi terpaksa membayarnya dengan harga tinggi.

Castagne bertembung dengan pemain Russia, Daler Kuzyaev, dalam satu perebutan bola di udara pada minit ke-25 dengan kedua-dua pemain itu kemudian kelihatan memegang kepala masing-masing.

Pertahanan Belgium itu kemudian di keluarkan serta-merta manakala Kuzyaev juga mengalami nasib sama dua minit berselang dalam perlawanan Kumpulan B itu di St Petersburg.

"Ia berita yang amat buruk, yang amat menyedihkan untuk melihat Timothy Castagne akan terlepas baki kejohanan ini," kata ketua jurulatih Belgium, Martinez.

"Dia sudah menjalani imbasan, dia mengalami dua keretakan dan akan mengambil rawatan yang sepatutnya."

Ketika pemain Leicester City itu akan berehat sepanjang kempen kali ini, ada berita lebih baik buat Jan Vertonghen.

Pertahanan veteran itu turut dikeluarkan kerana kecederaan buku lali pada minit ke-77 tetapi Martinez berkata tiada apa-apa yang membimbangkan mengenai tahap kecergasannya.

"Vertonghen hanya mengalami kecederaan biasa dalam bola sepak, kesakitan ringan di buku lali, di mana kami mungkin perlu menunggu selama 48 jam untuk melihat kesannya.

"Tetapi saya tidak rasa ia akan menjadi terlalu seirus," tambahnya.