Frank de Boer mengakui Belanda harus memperkukuhkan kedudukan setelah mereka membazirkan kelebihan dua gol sebelum akhirnya mengatasi Ukraine 3-2 dalam aksi pembukaan Euro 2020 awal pagi tadi.

Belanda kelihatan mengawal sepenuhnya aksi Kumpulan C di Amsterdam ketika Georginio Wijnaldum dan Wout Weghorst menjaringkan gol dalam ledakan enam minit pada awal separuh masa kedua.

Bagaimanapun, Andriy Yarmolenko mengurangkan defisit jaringan sebelum menyamakan kedudukan menerusi Roman Yaremchuk.

Denzel Dumfries diangkat sebagai wira Belanda apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-85, walaupun De Boer bimbang dengan cara pasukannya dibolosi dua kali ketika selesa mendahului perlawanan.



"Anda mengetahui Yarmolenko berkebolehan dengan rembatan kaki kirinya, dia amat terkenal dengannya. Kita harus mempertahankannya dengan lebih baik, walaupun itu adalah gol yang bagus. Ia tidak seharusnya berlaku," kata De Boer dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Gol kedua adalah sepakan percuma. Dua pemain terlalu bersemangat dan itulah sebabnya mengapa tidak ada offside yang diberikan.

"Kami harus belajar daripada kesilapan jadi mudah-mudahan lain kali tidak berlaku lagi. Pihak lawan selalu mendapat peluang, tetapi anda harap itu tidak akan terjadi kerana kesalahan anda sendiri.

"Kedua-dua gol ini, saya pasti, tidak diperlukan."