Gareth Bale mahu menginspirasikan satu lagi pengembaraan yang akan dikenang buat Wales dalam Euro 2020 sebelum kembali ke Real Madrid musim depan.

Pemain bernilai €100 juta (RM505 juta) itu memainkan peranan penting ketika Wales layak ke separuh akhir Kejohanan Eropah itu pada 2016.

Walaupun tidak diberikan sebarang harapan sebelum kejohanan edisi itu, Wales hanya dinafikan laluan ke final oleh pasukan juara, Portugal, di mana rakan sepasukannya di Madrid pada ketika itu, Cristiano Ronaldo, menjaringkan satu daripada dua gol Portugal.

Kini, Wales akan kembali bersaing dalam kejohanan tertinggi Eropah itu selepas Bale menamatkan musim dengan kukuh secara pinjaman di Tottenham.

Dia menamatkan kempen dengan 16 gol dan tiga bantuan jaringan daripada 34 perlawanan, hanya 19 kali daripadanya diturunkan sebagai kesebelasan utama, tetapi sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa pemain berusia 31 tahun itu sudah kembali ke prestasi terbaik.

Memperingati kecemerlangan Wales lima tahun lalu, Bale berkata: "Kami mahu mengulanginya tetapi kami realistik. Kami sedar ia kejohanan berbeza. Kami juga mempunyai pasukan yang amat berbeza berbanding sebelum ini.

"Jadi, amat sukar untuk melaluinya dengan berdepan negara-negara terbaik ini tetapi kami yakin dengan kemampuan kami dan kami boleh melakukannya di atas padang.

"Dan kami akan memberikan segala yang kami mampu di atas dan di luar padang untuk mencuba dan menjadikan kami berjaya dengan sebaik mungkin," katanya.

Bale menjadi pemain yang tidak berada dalam perancangan Zinedine Zidane di Madrid tetapi pengendali Perancis itu kini telah meninggalkan Los Blancos dan Bale kelihatan mampu menjadi aset baru buat pengganti Zidane.

Dia akan mengetuai Wales dalam Euro 2020 menjelang perlawanan pembukaan menentang Switzerland di Baku pada 12 Jun ini.

Wales kemudian akan berdepan Turki, juga di Baku, sebelum ke Rome bagi mencongak perhitungan dengan Itali.