Marko Arnautovic memohon maaf atas gelagatnya ketika meraikan jaringan kemenangan Austria mengatasi Macedonia Utara tetapi menafikan menggunakan simbol yang berunsur penghinaan perkauman.

Pemain berusia 32 tahun itu dibawa pada separuh masa dalam pertembungan Kumpulan C Ahad lalu dan melengkapkan jaringan dengan kemenangan 3-1 untuk pasukannya di Arena Nasional di Bucharest.

Arnautovic, yang berketurunan Serbia, kelihatan marah ketika dia meraikan jaringannya dan ditenangkan oleh kapten, David Alaba.



Dia dituduh menjerit cercaan berbaur perkauman terhadap pemain Macedonia Utara, Egzon Bejtulai dan Ezgjan Alioski, yang kedua-duanya berasal dari Albania.

Serbia tidak mengakui kebebasan bekas wilayahnya Kosovo, dan terdapat ketegangan bersejarah antara Serbia dan Macedonia Utara.

Bagaimanapun, bekas pemain Stoke City dan West Ham, Arnautovic, tular di media sosial semalam bagi menafikan tindakannya berunsur perkauman.

"Terdapat beberapa kata-kata yang dikeluarkan di atas padang dalam emosi permainan yang saya ingin meminta maaf -- terutamanya kepada rakan-rakan saya dari Macedonia Utara dan Albania," katanya menerusi Instagram.

"Saya ingin mengatakan satu perkara dengan sangat jelas: Saya bukan rasis. Saya mempunyai rakan di hampir semua negara dan saya memperjuangkan kepelbagaian. Semua orang yang mengenali saya menyedari perkara itu."

Austria bakal berdepan Belanda dalam aksi Kumpulan C di Amsterdam Khamis ini.