Jordi Alba berasakan Sepanyol sepatutnya menewaskan Poland untuk mengekalkan keyakinan bagi melayakkan diri ke pusingan 16 Euro 2020 selepas kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 di Stadium La Cartuja awal pagi tadi.

Alvaro Morata meletakkan La Roja di depan menerusi penyudah jarak dekatnya dalam babak pertama bagi menamatkan kemarau golnya dalam empat perlawanan antarabangsa terakhir, sekali gus membalas kritikan yang dihadapinya ketika terikat tanpa jaringan dengan Sweden dalam perlawanan pertama awal minggu ini.

Bagaimanapun, Sepanyol masih gagal memastikan kemenangan pertama merekad dalam edisi kali ini sebaik Robert Lewandowski menanduk masuk gol penyamaan Poland dalam babak kedua.

Gerard Moreno kemudian mensia-siakan sepakan penalti Sepanyol dengan rembatan yang menuju ke tiang gol sebelum gerakan susulan daripada Morata juga tersasar dari sasaran.

Sepanyol kini berada di tangga ketiga Kumpulan E menjelang misi wajib menang ke atas Slovakia di venue sama awal pagi Khamis ini dan ketua pasukan itu, Alba, berkata mereka akan menyudahkan tugas itu dengan keputusan terbaik selepas bermula goyah dalam Euro 2020.

"Saya percaya kami dapat mengubahnya, memperoleh kemenangan dan kami sedang melakukan tugas dengan baik ketika ini," kata pertahanan kiri Barcelona itu.

"Saya fikir terdapat keraguan mengenai keamatan kami, saya berasakan daripada segi keamatan dan keazaman kami, anda tidak perlu mempersoalkannya.

"Sudah pasti terdapat beberapa perkara untuk diperbaiki, sama seperti pasukan lain tetapi saya percaya barisan kejurulatihan kami telah melakukan tugas yang luar biasa. Kami amat bercita-cita tinggi, sudah pasti kami sakit hati dengan keputusan ini tetapi jika kami terus berusaha keras, saya pasti keputusannya akan tiba.

"Rabu ini (awal pagi Khamis), kami mempunyai satu lagi perlawanan akhir dan akan terus mencuba untuk menang dan layak ke pusingan seterusnya," katanya.