Sepanyol mengekalkan 11 pemain B-21 yang terbabit dalam penampilan menentang Lithuania awal pagi tadi selepas kem skuad asuhan Luis Enrique itu telah dilanda COVID-19 menjelang Kejohanan Euro 2020.

Persiapan La Roja untuk kejohanan itu tergugat apabila Sergio Busquets sah dijangkiti pandemik berkenaan yang menyebabkan seluruh pasukan itu terpaksa dikuarantin.

Perlawanan pemanas badan bertemu Lithuania juga terpaksa dipinda dengan Persekutuan Sepak Bola Diraja Sepanyol (RFEF) mempertaruhkan seluruh pasukan B-21 dan La Rojita mengambil kesempatan itu dengan berkesan.

Hugo Guillamon, Brahim Diaz, Juan Miranda dan Javi Puado masing-masing mencetak nama selaku penjaring dalam kemenangan 4-0 itu dan selepas perlawanan, seorang lagi anggota skuad senior - bek tengah Leeds United, Diego Llorente -- juga disahkan positif COVID-19.



Luis Enrique mengadakan sesi latihan dengan konsep gelembung sukan yang turut terdiri daripada Rodrigo Moreno, Pablo Fornals, Carlos Soler, Brais Mendez, Raul Albiol dan Kepa Arrizabalaga.

Dengan Sepanyol akan memulakan kempen menentang Sweden pada Selasa depan, 11 pemain yang tampil bertemu Lithuania dipanggil untuk menyertai gelembung latihan yang berasingan.

Alvaro Fernandez, Oscar Mingueza, Marc Cucurella, Miranda, Gonzalo Villar, Alejandro Pozo, Diaz, Martin Zubimendi, Yeremy Pino, Puado dan Bryan Gil -- satu-satunya pemain yang pernah mewakili pasukan senior -- menjadi pilihan Luis Enrique yang pada awalnya menamakan 24 pemain.