Christian Eriksen mungkin tidak bermain lagi secara profesional selepas mengalami serangan jantung semasa perlawanan Euro 2020 menentang Finland, kata pakar kardiologi sukan terkemuka.

Pemain tengah Denmark dan Inter Milan, Eriksen rebah di Stadium Parken, Copenhagen sebelum tamat separuh masa pertama dan dirawat oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke hospital.

Professor Sanjay Sharma, seorang profesor kardiologi sukan di St George's University di London yang bekerjasama dengan Eriksen ketika mewakili Tottenham Hotspur, berkata badan bola sepak mungkin 'bertegas' untuk tidak membenarkan pemain berusia 29 tahun itu bermain semula.

"Jelas ada sesuatu yang salah," kata Sharma.

"Tetapi mereka berjaya menyelamatkan Eriksen, persoalannya adalah apa yang terjadi? Dan mengapa hal itu terjadi?

"Pemain itu menjalani ujian normal hingga 2019, jadi bagaimana anda menjelaskan serangan jantung itu?"



Doktor pasukan Denmark, Morten Boesen, berkata, Eriksen menerima rawatan urut jantung (heart massage) yang menyelamatkan nyawa di padang dan dia telah mula memberikan respons sebelum dibawa ke hospital.

"Kami dipanggil ke padang ketika Eriksen rebah. Dia terbaring ketika kami mendekatinya, terdapat pernafasan dan nadi," kata Boesen selepas tamat perlawanan.

"Tetapi segalanya berubah dan dia kemudian mendapat urutan jantung serta CPR yang menyelamatkan nyawanya. Kami dengan segegara mendapatkan bantuan doktor dan kami berjaya menyelamatkan Eriksen."

Prof Sharma, yang mengetuai kumpulan pakar konsensus jantung Persatuan Bola Sepak, mengatakan bahawa dia 'gembira' dengan perkhabaran bahawa Eriksen sudah terjaga di hospital.

"Anda dapat melihat dia sudah stabil dan terjaga, pandangannya sangat baik," katanya lagi.

"Saya tidak tahu sama ada dia akan bermain bola sepak semula.

"Tanpa mengatakannya dengan lebih jelas, dia telah mati hari ini, walaupun selama beberapa minit, tetapi dia mati dan adakah pakar perubatan profesional akan membiarkan dia mati sekali lagi?

"Jawapannya adalah tidak."

Prof Sharma menambah lagi bahawa bergantung kepada pemain dan kelabnya untuk menilai risiko untuk terus bermain.

"Serangan jantung dialami Eriksen menggegarkan seluruh negara hari ini dan itulah yang telah berlaku. Kejadian tersebut bukan hanya mempengaruhi sebilangan pihak, tetapi jiwa ramai individu yang menyaksikan perkara itu kini dalam keadaan yang sukar untuk digambarkan," katanya.

"Berita baiknya adalah dia akan hidup, khabar buruknya adalah dia akan sampai ke akhir kariernya, jadi dia akan terus bermain secara profesional? Itu tidak dapat saya katakan.

"Di UK dia tidak akan bermain. Kami sangat tegas mengenainya."






Sumber: AAP