Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) boleh menarik nafas lega apabila hasrat untuk mendapatkan atlet kelahiran Australia, Eric Low -- prospek pingat dalam Sukan SEA Filipina, November depan -- mendapat perkenan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Atlet kelahiran Victoria, Australia itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibu dan bapanya.

Dia sudah berada di Malaysia sejak Ahad lalu untuk pemeriksaan kesihatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan melengkapkan proses dokumentasi.

Dia akan membentuk gandingan dengan Mohd Amirul Norhadi dan Muhammad Khalis Jasmiad menjelang temasya dwitahunan itu.

Ironinya, perkenalan Eric dengan wakil Permada adalah menerusi atas talian selepas prestasi cemerlangnya meraih dua pingat gangsa dalam Kejohanan Mendayung dan Regatta Antarabangsa Sydney, Mac lalu.

"Saya fikir dapat meluangkan masa di sini amat bagus kerana berpeluang untuk berada dalam cuaca panas.

"Ia berbeza dengan Australia yang mempunyai cuaca berlainan.

"Terutama apabila saya akan bersaing di Asia.

"Saya perlu menyesuaikan diri dengan cuaca seperti ini," katanya.

Kemasukan Eric memberi sinar buat skuad negara memandangkan sebelum ini mereka hanya dibarisi Amirul dan Khalis.

"Dia sudah mula mendayung sejak berusia 13 tahun dan mempunyai pengalaman luas.

"Dengan itu, kami boleh belajar daripadanya dan boleh memperbaiki prestasi," kata Amirul.

"Seperti yang saya tahu, Eric mempunyai pengalaman luas dan dia belajar di Australia.

"Pengalamannya dengan jurulatih Australia lebih banyak, jadi kami dapat menuntut ilmu tentang cara dayungan terbaik.

"Banyaklah yang dia telah kongsikan," tambah Khalis pula.