Kelab Ragbi Eagles (ERC) akan membuka sebuah akademi ragbi di Sandakan, Sabah, yang diberi nama sempena nama legenda ragbi dunia, Sir Gordon Tietjens.

Akademi yang bakal dilancarkan pada 15 Mac itu adalah usaha kelab berkenaan untuk melahirkan pemain ragbi bertaraf dunia.

Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Sabah (SRU), Dr KH Tan, berkata akademi yang berpusat di Eagles Sports Arena, Sandakan, itu mencatat sejarah baharu dalam sukan ragbi di Sabah kerana ia mendapat kerjasama daripada Tietjens yang juga bekas pemain New Zealand.

"Kami telah berbincang dengan Sir Gordon mengenai akademi ini sejak beberapa tahun lalu tetapi oleh kerana komitmen beliau di New Zealand, beliau tidak dapat datang tetapi sekarang beliau telah bersetuju untuk datang pada hari pelancaran nanti dan beliau juga adalah pengerusi bagi akademi berkenaan," katanya dalam sidang media, di Kota Kinabalu, semalam.

Tan berkata antara objektif utama akademi itu adalah untuk melahirkan pemain ragbi bertaraf dunia di samping mencari bakat-bakat baharu sukan berkenaan.

"Pada hari pelancaran akademi itu nanti juga, kami akan mengadakan kursus kejurulatihan yang akan dikendalikan bekas kapten pasukan ragbi tujuh sebelah All Blacks, Edwin Cocker," katanya.