Enam pemain memiliki peluang terbuka untuk merebut dua slot akhir bagi menyertai 18 pemain yang akan menggalas cabaran penting Liga Hoki Dunia di Belgium yang akan diumumkan Khamis depan.

Tiada tiket mudah, keenam-enam pemain ini masih memiliki masa sekurang-kurangnya sehingga Khamis sebelum jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, membuat keputusan senarai dua nama akhir sebelum ke Belgium.

Mereka -- Surizan Awang Noh, Noraslinda Said, Nur Zafirah Aziz, Fatin Naimah Zaki, Rabiatul Adawiyah Mohamed dan Nurul Safiqah Mat Isa -- perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka bagi tempoh kurang seminggu dari sekarang.

Tegas Dhaarma, persaingan melibatkan enam pemain berkenaan begitu sengit kerana mahu terlibat dalam peluang beraksi buat kali pertama di peringkat terbaik dalam sejarah pencapaian
skuad negara setakat ini.

"Kami mahu setiap pemain terus mempertingkat mutu permainan dan tidak mahu mana-mana pemain berasa selesa sehingga Khamis ini untuk memilih pemain terbaik untuk beraksi di Belgium," kata Dhaarma.

Skuad Dhaarma kembali menjalani sesi latihan asal bermula Isnin, selepas pelan latihan jam 3.30 pagi membawa kepada keletihan berganda anak buahnya pada minggu lalu.

Malaysia yang menduduki ranking ke-22 dunia bakal diberikan laluan berliku berdepan tiga pasukan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, iaitu Australia, New Zealand dan Sepanyol sementara Belgium menduduki ranking ke-14 dunia.

"Kesungguhan yang dipamerkan oleh pemain-pemain membuat pengorbanan berlatih seawal 3.30 pagi menunjukkan mereka sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam saingan Liga Hoki kali ini."