Atlet ekuestrian negara, R. Sharmini Christina, tidak menyangka impian untuk beraksi bersama idolanya, Qabil Ambak Mahamad Fathil, menjadi kenyataan selepas meraih emas acara show jumping berpasukan Sukan SEA Ke-29 di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang, hari ini.

Sharmini mula mewakili negara sejak Sukan SEA Palembang 2011, dan antara muka baru yang tersenarai selai, Mohd Nabil Fikri Ismail, Nurlin Mohd Salleh dan Natasha Ines Wah Idris.

Namun, pada ketika itu Qabil tidak berada dalam pasukan kerana sudah bersara.

Selepas tujuh tahun, Qabil keluar daripada persaraan dan Sharmini berasa begitu terharu dapat bersama idolanya itu untuk menuai emas dalam acara show jumping berpasukan, hari ini.

"Sebelum ini saya hanya melihatnya beraksi di pentas yang tinggi ketika saya muda, sekarang kami berlatih bersama-sama dan bersaing dalam satu pasukan yang sama. Saya sangat gembira dengan kejayaan ini," katanya.

Selain Sharmini dan Qabil, dua lagi atlet negara yang menjadi penyumbang emas acara ekuestrian berpasukan adalah R. Neelan Jonathan dan Praveen Nair Mathavan.

Skuad negara dipaksa bersaing dalam penentuan 'jump-off' bersama Thailand dan Filipina apabila terikat lapan penalti selepas pusingan pertama dan kedua.

Bagaimanapun, dalam pusingan 'jump-off' itu, Malaysia mengekalkan rekod bersih sementara Filipina yang melakukan 12 penalti akur dengan meraih perak dan gangsa menjadi milik Thailand (15 penalti).

"Saya sangat berpuas hati dengan kejayaan emas ini, kami telah berjaya memperbaiki pencapaian pingat perak di Singapura dua tahun lalu," tambah Sharmini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC).