Atlet ekuestrian negara, Quzandria Nur Mahamad Fathil, mengetepikan faktor sedang mengandung lima bulan untuk terus menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara dressage individu.

Selepas cemerlang menyumbang emas dalam acara dressage berpasukan, Malaysia menampilkan dua wakil dalam acara individu, iaitu Qabil Ambak dan adiknya, Quzandria, dalam aksi yang menampilkan sembilan peserta mengambil bahagian.

Perhatian tertumpu kepada Quzandria kerana sedang mengandung lima bulan, namun masih mampu untuk mempamerkan persembahan bertenaga bersama kudanya, Rosenstolz.

Dia berjaya mencatat mata keseluruhan 152.029 untuk merangkul emas, sekaligus meraih emas kedua peribadi dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya telah berbincang dengan doktor mengenai keadaan saya tetapi ia tidak menggugat saya. Kejayaan ini dianggap sebagai rezeki," kata Quzandria.

"Ia merupakan cabaran buat saya tetapi menjadi satu pencapaian yang sangat bermakna.”

Tempat kedua menjadi milik abangnya, Qabil Ambak, yang menunggang Walkuere dengan mencatat 149.547 mata manakala tempat ketiga disahkan oleh wakil dari Singapura, Caroline Chew, yang menunggang Tribiani.

"Kemenangan yang berjaya diraih di Malaysia amat bermakna buat saya. Pencapaian ini adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan," ujar Qabil.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.