Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, tidak memandang dua tugasan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 sebagai sesuatu yang berat dalam memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong.

Eain Yow dijadualkan beraksi dalam acara perseorangan bersama-sama Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen, namun dalam masa sama, dia juga perlu menangani cabaran beregu apabila bergandingan dengan Mohd Syafiq Kamal.

Tatkala Gold Coast menjadi destinasi pertama Eain Yow dalam Sukan Komanwel, dia berasakan perlu untuk memberikan segalanya dalam dua acara itu.

"Bagi saya, fokus tetap akan diberikan kepada kedua-dua acara kerana ini adalah Sukan Komanwel pertama dalam karier. Jadi, saya akan cuba tampilkan aksi terbaik untuk setiap bahagian," katanya.

Sementara itu, Eain Yow turut berkongsi perkembangan persiapan fasa akhir sebelum berlepas ke Gold Coast hujung bulan ini.

"Untuk bulan Mac, saya memilih untuk tidak menyertai sebarang kejohanan dan meneruskan sesi latihan bagi Sukan Komanwel."