Pemain skuasy nombor satu negara, Ng Eain Yow, sudah melupakan episod duka terkandas dalam di pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna, Mesir, minggu lalu.

Malah, Eain Yow komited apabila memasang niat untuk muncul antara lapan pemain terbaik dalam Kejohanan Dunia, Julai depan.

Biarpun langkah kanan di Mesir, perjalanannya tersekat selepas tewas kepada musuh tradisi, Youssef Ibrahim.

"Saya memang kecewa memandangkan ada sesetengah perkara tidak seperti yang diharapkan.

"Keseluruhannya saya agak berpuas hati untuk lepasi pusingan pertama cuma di peringkat kedua, ada perkara yang tidak menjadi seperti yang disasarkan," katanya.

Enggan menekan butang panik, pemain 23 tahun itu dan jurulatihnya, Hadrian Stiff, sudah mengenal pasti kesilapan dalam permainannya.





Ia secara tidak langsung membakar semangatnya dengan meletakkan misi peribadi ke suku akhir di Chicago kelak.

Pemain nombor ke-27 dunia itu kini kembali fokus menjalani latihan intensif di Bristol, England, sebelum menumpukan saingan dalam kejohanan terakhir tahun ini di samping skuad berpasukan negara.

"Saya sasar ke suku akhir dalam Kejohanan Dunia.

"Saya juga berharap mampu menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia selain muncul dalam kalangan lapan terbaik untuk Kejohanan Berpasukan Dunia."