Keputusan pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow, untuk berpangkalan di luar negara adalah langkah tepat untuk dia berada dalam kelompok elit dunia.

Perkembangan itu disahkan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam.

Bermula hujung tahun lalu, Eain Yow berlatih secara eksklusif di Bristol, England bersama kehadiran dua lagi rakan sepasukan, Ivan Yuen dan Syafiq Kamal.

Kesan latihan mereka di luar negara mula menampakkan hasil bulan lalu apabila menamatkan kempen Kejohanan Dunia Berpasukan Lelaki dalam kelompok 10 terbaik.

Skuad negara yang dibarisi trio tersebut menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi, Australia dan Hong Kong, untuk pulang sebagai pasukan kesembilan terbaik dunia.

"Saya sangat gembira di atas peningkatan yang dipamerkan pemain-pemain negara yang berkelana di Bristol ketika ini. Persaingan yang lebih meluas di sana membantu peningkatan persembahan atlet negara," kata Maniam.



Editor: Ammar Hakim