Jaguh lontar peluru negara, Muhamad Ziyad Zolkefli, meraih pingat emas kategori T20 (masalah pembelajaran) dalam Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 Grand Prix (GP) Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Ziyad ternyata sukar digugat dan berada dalam kelas tersendiri apabila Unit Perhubungan Media, Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan atlet yang meraikan hari jadi ke-28 tahun pada 15 Mac lalu itu melakukan lontaran cemerlang sejauh 16.42 meter dalam lontaran kelimanya.

Ziyad menempatkan diri di tangga teratas sejak permulaan saingan apabila mencipta lontaran sejauh 16.30m dan terus meningkat selepas itu.

Dia yang meraih anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2017, Selasa lalu itu mengatasi cabaran Dimitrios Senikidis dari Greece di tempat kedua dengan catatan 15.27m untuk mengutip perak, sementara wakil Moldova, Vladimir Butucea, meraih gangsa dengan lontaran 10.78m.