Dua raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi, terpaksa menerima hakikat untuk berpisah secara tetap dengan jurulatih mereka, Poad Kassim.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat di antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah kesediaan mereka untuk menerima keputusan berlatih secara tetap dibawah jurulatih baru, Dwayne Miller, yang turut merangkap pengarah teknikal KOM.

Atlet di bawah kendalian Poad sepatutnya hanya berlatih secara sementara di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, mesyuarat itu memutuskan adalah lebih baik untuk memindahkan mereka secara tetap di MSN bagi menjalani latihan secara berkumpulan.

Ia bermakna Poad terpaksa melepaskan kesemua anak buahnya termasuk Khairul Hafiz, yang merupakan pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebelum Haiqal mempertahankannya di Filipina tahun lalu.



"Saya ikut (keputusan itu). Mereka sudah berbincang semalam, jadi saya hanya ikut cakap jurulatih Poad yang sudah membenarkannya," kata Khairul Hafiz kepada Nadi Arena.

"Cuma satu yang saya hendak ingatkan, tolong jangan jatuhkan jurulatih Poad kerana dia tetap jurulatih saya.

"Walaupun saya sudah berpindah ke sini, jurulatih Poad tetap jurulatih saya.

"Apabila sudah jadi seperti ini, apabila saya dapat tahu jurulatih Poad sudah benarkan saya berlatih di sini, saya rasa OK kerana dia sudah lepaskan saya secara baik.

"Saya akan cuba yang terbaik tetapi dia tetap jurulatih saya," katanya.

Khairul Hafiz dan beberapa pelari pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berada di Bukit Jalil sejak tiga minggu lalu untuk latihan jangka masa pendek.

Mereka berlatih di bawah seliaan Poad sejak enam tahun lalu sehingga Khairul Hafiz memecahkan rekod kebangsaaan dalam acara 100 dan 200 meter.



Sementara itu, Poad dalam respons segeranya berkata: "Saya berasa lega kerana dapat membincangkan hala tuju atlet berkenaan.

"Keputusan tersebut merupakan yang terbaik untuk masa depan mereka dan negara.

"Saya sebagai jurulatih amat memahami keperluan atlet disatukan bagi membentuk pasukan mantap.

"Demi negara, saya rela melepaskan mereka kepada jurulatih Miller dan mendoakan agar mereka dapat menyesuaikan diri secepat mungkin," katanya.