Atlet angkat berat negara mungkin terpaksa berputih mata untuk menyertai tiga temasya penting tahun depan, iaitu Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel England dan Sukan Asia China seandainya Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung oleh badan induk antarabangsa ekoran kes doping.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, berkata syarat untuk beraksi dibawah payung MOM adalah mana-mana atlet atau persatuan perlu bebas daripada kes doping.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan dua atlet angkat berat negara, termasuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, didapati terlibat dengan penggunaan bahan terlarang jenis anabolic steroid dan boleh dikenakan penggantungan maksimum selama empat tahun sekiranya didapati bersalah.

Kedua-dua atlet terbabit juga dilaporkan sedang menjalani penggantungan sepanjang proses siasatan berjalan.

Kes positif doping ini sudah pasti akan mengundang risiko buat PABM memandangkan badan induk itu boleh digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Nazifuddin dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini berkata: "Jika persatuan digantung, atlet mungkin masih boleh menyertai temasya selagi mereka tidak digantung.

"Jadi, kami perlu melihat keadaan semasa dan berharap persatuan (PABM) didapati tidak bersalah dalam kes ini.

"Kami juga dapat lihat persatuan ini sudah mencuba banyak cara bagi memastikan mereka bersih daripada isu doping.

"Jadi, saya berharap persatuan ini tidak berdepan masalah dan atlet mereka dapat menyertai kejohanan tahun depan," katanya.