Penjelasan mengenai tindakan susulan ke atas penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, berhubung kes doping hanya akan diumumkan oleh Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen, mengesahkan Yan Yee selaku pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, gagal ujian doping jenis sibutramine.

Ujian sampel B yang dilakukan di New Delhi, India, juga menunjukkan keputusan positif dan kini menunggu kata putus daripada Yan Yee untuk menghadiri sesi pendengaran atau menerima keputusan terbabit.

Semestinya perkembangan ini satu tamparan hebat buatnya kerana sekian lama menanti pingat emas acara individu sejak 2011 dan kini dia harus bersedia pingat itu ditarik balik.

"Keputusan sebenarnya dapat pagi ini. Saya mesti bercakap dengan ahli exco (terlebih dahulu) dan kami akan mengadakan sidang media dengan kamu semua (media) untuk memaklumkan perkembangannya.

"Saya akan mendapatkan Datuk Seri Shahidan. Saya perlu bercakap dengannya," katanya.

Begitupun, Mae beri jaminan isu berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan kepada persiapan barisan penerjun lain untuk mempertaruhkan aksi terbaik dalam Grand Prix (GP) Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil bermula esok.

"Kami tidak tahu kerana surat akan dihantar juga kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA). Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut sebab saya perlu tahu tindakan selanjutnya.

"Saya akan memaklumkannya kemudian. GP Kuala Lumpur akan diteruskan seperti biasa," katanya lagi.

Sejak pelari pecut, Azmi Ibrahim, gagal ujian doping pada 1996, kes membabitkan atlet ternama sepi seketika sehinggalah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan legenda bina badan, Sazali Samad, terpalit insiden gagal ujian doping pada 2014 dan 2015.

Sebelum itu, Yunus Lasaleh (olahraga) dan Tai Cheau Xuen (wusyu) juga terbabit sehingga menyaksikan pingat emas Sukan SEA dan Sukan Asia mereka ditarik balik.