Biarpun memiliki kerjaya sebagai doktor, Illina Mohd Rothi tetap menceburi bidang lain kerana minat yang mendalam terhadap sukan hoki ais selain boleh mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Kelibat Illina dalam Kejohanan Piala Cabaran Asia Wanita di Empire City jelas mencuri tumpuan.

Dia bukan sahaja hebat di gelanggang ais selaku ketua pasukan, malah memiliki latar belakang yang menarik.

Bertugas sebagai doktor ortopedik di sebuah hospital pakar di New Zealand, Illina dalam masa sama turut menabur bakti untuk negara.

"Saya mula bermain untuk pasukan sekolah perubatan, kemudian dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan.

"Tahun lepas, kami tewas dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), jadi ini adalah ibarat misi membalas dendam dan kami amat mahukan kemenangan," katanya.

Illina kini cemerlang mengetuai cabaran skuad hoki ais wanita negara menerusi dua kemenangan berturut-turut.

Selepas menewaskan Filipina 3-1 dalam aksi pertama, skuad negara mudah membenam India 5-0 dalam aksi berikutnya, sekaligus aksi terakhir bertemu UAE hari ini sebagai perlawanan penentuan pingat emas.