Novak Djokovic percaya dia kembali ke prestasi terbaik pada waktu yang tepat tatkala kini sedang mencabar kejuaraan Wimbledon.

Bekas pemain nombor satu dunia itu melangkah ke separuh akhir grand slam buat kali pertama sejak Terbuka Amerika Syarikat 2016 setelah melepasi halangan Kei Nishikori di All England Club, semalam.

Djokovic, yang merupakan juara tiga kali di SW19, kini berada di tahap keyakinan terbaik sambil menanti pemenang di antara Rafael Nadal dan Juan Martin Del Potro, esok.

"Tentunya perasaan amat hebat apabila berada dalam kelompok empat terakhir," katanya.

"Saya telah mempersiapkan diri selama beberapa minggu berdasarkan tahap permainan yang saya lalui dalam beberapa bulan terakhir.

"Ia menjadi semakin baik dalam setiap perlawanan dan masa. Saya rasa saya meningkat pada waktu yang tepat.

"Ini bukan separuh akhir pertama buat saya. Saya pernah berada di sini tetapi kini saya mahu menikmati kemenangan sebelum memikirkan tentang lawan seterusnya."

Dalam masa sama, Djokovic juga yakin bahawa dia benar-benar sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan pada tahun ini.

"Sebab itulah saya ada di sini.

"Saya gembira kerana berpeluang untuk beraksi dalam sukan yang saya gemari sehingga ke peringkat ini. Saya bekerja keras untuk mendapatkan persembahan terbaik di pentas yang besar.

"Tiada apa yang lebih besar daripada Wimbledon, jadi saya harap dapat meneruskannya."