Novak Djokovic mengesahkan hubungan profesionalnya dengan jurulatih, Marian Vajda, telah berakhir.

Djokovic mendedahkan merekabersetuju untuk berpisah pada tahun lalu sebaik tamat Pusingan Akhir ATP di Turin.

Vajda berkhidmat sebagai sebahagian daripada pasukan Djokovic selama 15 tahun dengan memainkan peranan penting dalam karier gemilang juara grand slam 20 kali itu.

“Marian telah berada di sisi saya dalam detik paling penting dan ia tidak dapat dilupakan dalam karier saya,” kata Djokovic dalam catatan di laman sesawang rasminya.

“Kami mencapai beberapa perkara yang luar biasa dan saya sangat berterima kasih atas persahabatan dan dedikasinya sejak 15 tahun lalu.

"Walaupun dia mungkin meninggalkan pasukan profesional kami, dia akan sentiasa menjadi keluarga saya dan saya tidak mampu membalas jasanya."

Vajda berkata: "Sepanjang saya bersama Novak, saya bertuah melihat dia berubah menjadi pemain seperti hari ini.

"Saya akan mengimbau kembali saat kami bersama dengan rasa penuh bangga dan saya sangat bersyukur atas kejayaan yang telah dicapai.

"Saya akan terus menjadi penyokong tegarnya, baik di atas mahupun di luar gelanggang selain menantikan cabaran baru."

Vajda bertugas bersama pasukan di belakang tadbir Djokovic itu di samping bekas juara Wimbledon, Goran Ivanisevic, yang dilantik pada 2019.

Begitupun, Ivanisevic akan terus bekerjasama dengan Djokovic tatkala dia berusaha untuk menambah koleksi kejuaraan utamanya.