Juara lima kali, Novak Djokovic, melahirkan rasa bangga dengan catatan 19 kemenangan berturut-turut dalam Terbuka BNP Paribas walaupun tersingkir, pagi tadi.

Mencari gelaran Indian Wells keempat berturut-turut, pilihan kedua, Djokovic, disingkirkan Nick Kyrgios, 6-4, 7-6 (7-3), dalam saingan 16 terakhir, dengan dia tewas dalam kejohanan itu buat kali pertama sejak 2013.

Bekas pemain nombor satu dunia dan 12 kali juara Grand-Slam, Djokovic, tidak tewas di California sejak 2013 selepas dia diatasi Juan Martin del Potro pada peringkat separuh akhir.

"Catatan itu menakjubkan. Saya amat bangga dengan itu, jelas. Malangnya, ia terpaksa berakhir pada satu peringkat," kata Djokovic.

"Nick (Kyrgios), sekali lagi, seperti yang dilakukannya di Acapulco beberapa minggu yang lalu, dia mengambil servis dengan baik. Hanya tidak berjaya mendapatkan semula banyak bola dalam servisnya, pertama dan kedua, juga. Itulah yang menjadi perbezaan.

"Dia jelas bermain dengan gayanya, sangat agresif, dan hanya bermain untuk setiap servis, sama ada pertama atau kedua. Ia jelas sangat sukar untuk bermain seperti itu."

Ia adalah kali kedua dalam dua minggu di mana Djokovic tewas kepada bintang Australia, Kyrgios.

Djokovic tewas di Acapulco dan dia mengalami satu lagi kekalahan minggu ini dalam Kejohanan ATP 1000, berhempas pulas melawan servis Kyrgios.

"Pada servis pertamanya, saya cuba menjangka dan membaca servisnya, di mana dia melakukan 140 batu sejam menjunam ke T dan juga dengan sudut cukup baik, ia sukar untuk meletakkan diri anda dalam posisi yang baik... Ia adalah pertaruhan," tambah pemain Serbia itu.

"Servis keduanya, jika anda fikir anda akan melihatnya, anda tidak berbuat demikian, kerana dia melakukannya dengan baik juga. Dia tidak membuat terlalu banyak kesalahan berganda."