Nick Kyrgios terlepas peluang di laman sendiri untuk layak ke suku akhir Terbuka Australia apabila tunduk di tangan wakil Bulgaria, Grigor Dimitrov, di Rod Laver Arena, petang tadi.

Dimitrov nyata lebih unggul untuk menyaingi kehebatan pemain berusia 22 tahun itu apabila menang 7-6 (7-3), 7-6 (7-4), 4-6, 7-6 (7-4).

Kekalahan menerusi empat set itu menyaksikan Kyrgios terus gagal mencipta rekod untuk menjuarai kejohanan itu sejak Mark Edmondson melakukannya pada 1976.

Dimitrov, yang menamatkan saingan tahun lalu dalam separuh akhir, jelas bijak mendominasi perlawanan serta memanfaatkan setiap kesilapan yang dilakukan oleh Kyrgios di depan penyokong sendiri.

"Perlawanan menentang Kyrgios sentiasa sengit. Dua minggu lalu, saya tewas di tangannya dan aksinya ketika melakukan servis sangat hebat.

"Kyrgios bertarung sehingga ke penghujung perlawanan, namun saya sedar ia adalah pertemuan yang memerlukan kepakaran untuk mengaut setiap peluang yang ada. Saya gembira dapat layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Dimitrov akan melakukan perhitungan dengan wakil Great Britain, Kyle Edmund, dalam saingan suku akhir Selasa ini.