Skuad wushu negara kehilangan atlet kedua dalam tempoh tiga hari selepas bekas juara dunia wushu, Diana Bong, mengumumkan persaraannya selepas 15 tahun mewakili Malaysia.

Diana mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan selepas mendapat pekerjaan di sebuah kolej tempatan.

Bekas juara dunia acara nandao pada 2013 itu menjadi atlet kedua meninggalkan skuad wushu negara selepas jaguh taijijian, Loh Jack Chang, turut mengambil keputusan sama, kelmarin.

"Sebelum ini, saya pernah menyatakan yang saya hanya akan bersara selepas mempunyai pengganti yang mampu membutirkan pingat buat negara.

"Kini, saya berasakan ia masa yang sesuai untuk saya mengundurkan diri dan memulakan hidup baru.

"Sepanjang empat tahun lalu, sasaran saya adalah untuk menyertai Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Memandangkan saya tidak dapat mengatasi perubahan yang berlaku, saya memilih untuk memulakan fasa baru dalam hidup saya," katanya.