Mo Farah memecahkan rekod dunia acara larian sejam dalam Kejohanan Diamond League di Brussels awal pagi tadi.

Pelari jarak jauh berbangsa British itu -- yang juga pemenang empat pingat emas Sukan Olimpik, berlari sejauh 21,330 meter dalam tempoh 60 minit, memecahkan rekod 21,285 meter yang dilakukan Haile Gebrselassie pada 2007.

Dalam percubaan awalnya untuk memecahkan rekod itu, Farah meningkatkan lariannya selepas ketinggalan 10 meter di belakang rentak Gebrselassie pada pertengahan perlumbaan.

Bashir Abdi memintas Farah pada lima minit teakhir tetapi pelari berusia 37 tahun itu kembali melakukan pecutan pada 60 saat terakhir untuk memecahkan rekod dunia pertamanya.

Farah turun bersaing buat kali pertama sejak Maraton Chicago pada Oktober tahun lalu dan sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi acara 10,000 meter dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Ia amat luar biasa, saya gembira kerana dapat memecahkan rekod dunia hari ini," katanya dalam sesi temu bual di atas balapan.

"Saya dan Bashir Abdi bekerjasama. Saya amat gembira untuk dia dan diri saya dan ia satu cara yang amat luar biasa untuk melakukannya dan untuk menunjukkan kepada semua orang apa yang boleh dilakukan.

"Saya berasa penat tetapi pada masa sama, pada pertengahan perlumbaan, kami perlu berusaha keras.

"Saya tidak pasti apa yang sedang kami lakukan dan kami membantu sesama sendiri dan melaluinya dan ia amat baik untuk memecahkan rekod dunia," katanya.