Tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan Eropah menjadi sandaran buat skuad hoki wanita kebangsaan kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk mempertajamkan ketangkasan menjelang Siri Akhir Hoki Dunia yang turut menawarkan slot ke kelayakan Sukan Olimpik.

Siri Akhir Hoki Dunia di Ireland, Jun depan, bakal menawarkan dua slot ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk tujuh pasukan bertanding dalam saingan itu.

Dharma optimis untuk mara ke pusingan seterusnya berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan ranking dunia yang tidak jauh antara satu sama lain.

Justeru, jurulatih itu bercadang untuk berlepas dua minggu lebih awal dan akan menentang pasukan Itali, Scotland dan Ireland sebagai ujian menguji permainan Malaysia.

"Seperti yang orang ramai tumpukan kepada skuad lelaki, ia ibarat kami tidak berpeluang tetapi saya rasa kami mampu apabila melihat mereka bertanding di Ireland," kata Dharma.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-22 dunia perlu berhadapan dengan beberapa pasukan seperti Korea Selatan, Scotland, Republik Czech serta tuan rumah, Ireland, jika berhasrat untuk merebut slot tersebut di samping berwaspada dengan ancaman Perancis dan Ukraine.

"Kami akan berlepas ke Itali 20 Januari ini dan melalui empat perlawanan, kemudian ke Scotland bagi menghadapi dua aksi di sana. Kami juga akan berdepan satu perlawanan di Ireland sebelum memulakan saingan sebenar.

"Ia ibarat dua dalam satu. Pergi ke sana lebih awal dan melalui beberapa aksi sebelum terus memulakan kejohanan."