Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menjelaskan pasukannya menyimpan kekuatan sebenar membabitkan 'set piece' dan akan digunakan sepenuhnya ketika menentang Belgium dalam perlawanan Liga Hoki Dunia di Brussels, malam ini.

Walaupun Malaysia memiliki peluang untuk menggunakan kelebihan 'set piece' yang mereka miliki, namun Dhaarma tidak mahu kelebihan itu dihidu awal oleh skuad tuan rumah.

Dia juga tidak mahu membuka sebarang ruang buat pihak lawan melakukan analisis mengenai kekuatan sebenar yang dimiliki Malaysia kali ini.

“Kami memang ada menyimpan 'set piece' untuk digunakan menentang Belgium,” ujarnya.

Dhaarma tidak terkesan dengan dua kekalahan Malaysia kepada Australia dan Sepanyol sambil menegaskan Malaysia perlu licik dalam mencari mangsa sebenar untuk ditewaskan, sekaligus melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018 buat kali pertama.

“Skuad hoki wanita negara kurang bernasib baik kerana diundi dengan pasukan yang begitu kuat, namun saya yakin pemain-pemain akan berusaha untuk mendapatkan keputusan yang positif," katanya.