Jurulatih skuad hoki wanita, Mohammad Dhaarma Raj Abdullah, mendambakan kejayaan layak beraksi dalam pusingan ketiga Liga Hoki Dunia sebagai hadiah terbaik genap setahun kelibatnya bersama pasukan itu.

Pada Ahad ini, genap setahun Dhaarma membimbing skuad hoki wanita negara apabila dia mengambil alih tampuk kejurulatihan skuad itu pada 15 Januari 2016.

Sudah pasti kejayaan yang dicipta sepanjang tahun lalu belum cukup memuaskan hati Dhaarma yang mengimpikan kejayaan lebih besar, iaitu layak ke pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia dengan syarat memastikan pentas akhir pusingan kedua menjadi milik mereka.

"Kalau kami layak ke final, ia lebih kepada hadiah buat saya. Kepuasannya sukar nak cakap dan ia pasti sangat menakjubkan.

"Saya harap ia akan berlaku kerana ketika saya menerima tugasan ini, saya menganggapnya sebagai bonus jika kami layak.

"Buat masa ini, saya tidak fikir itu semua kerana saya hanya mahu pasukan ini layak ke separuh akhir," ujarnya.

Sesi latihan terakhir hari ini menyaksikan Dhaarma masih menekankan aspek latihan situasi bola mati sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan andai perlawanan penuh berakhir dengan keputusan seri.

Malaysia akan memulakan aksi pertama menentang Hong Kong, esok.

"Peratus untuk mencatatkan keputusan seri sangat tinggi kerana kesukaran pasukan wanita dalam menghasilkan gol.

"Kemungkinan besar peluang seri pasti ada.

"Penentuan pukulan penalti bukan sahaja dalam pusingan kalah mati, malah semasa saingan di peringkat kumpulan."