Persaraan Datuk Nicol David menjadi sandaran bekas tonggak kebangsaan, Delia Arnold, dalam memperkasakan barisan kejurulatihan negara membentuk generasi baru pemain elit wanita Malaysia.

Delia yang bersara pada 2017 menerima tawaran daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk melatih skuad wanita.

Bergantung kepada kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN), dia dijadualkan memulakan tugasnya Ogos depan.

Tarikan kembali ke gelanggang skuasy sukar untuk dilepaskan bekas pemain di ranking ke-12 dunia itu meskipun terbit keperluan untuk mengimbangi kerjaya baru serta tuntutan kepada suami serta anak tunggal mereka.

Bagi Delia, peluang untuk melatih bakat muda dalam kem negara seperti Aifa Azman adalah peluang yang luar biasa.

"Ketika muda, saya sempat melihat ayah melatih pemain lain dan ia memberi inspirasi kepada saya.

"Gelanggang skuasy ibarat rumah buat saya, saya membesar di sana.

"Jadi, sudah tiba masanya untuk menyumbangkan sesuatu buat sukan ini dan negara," katanya.

Timbul kebimbangan penguasaan Malaysia di pentas antarabangsa berkubur dengan legasi Nicol.

"Ia satu penghormatan untuk membimbing pasukan kebangsaan.

"Saya akan berikan khidmat yang terbaik dengan harapan mampu melahirkan pemain handalan seperti Nicol dan Low Wee Wern.

"Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat yang meningkat naik.

"Saya bersemangat untuk bekerjasama dengan mereka dan melihat hasilnya," katanya.