Zaqhwan Zaidi bakal mewarnai semula kancah perlumbaan Cub Prix selepas dua tahun terkandas di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) akibat COVID-19.

Pelumba Boon Siew Honda Racing Team berusia 26 tahun itu berkemungkinan besar kembali ke pangkuan individu yang bertanggungjawab membawanya sehingga ke peringkat tertinggi iaity Shahrol Yuzy.

Justeru, andai juara ARRC 2014 dan 2016 itu bertekad mewarnai kembali kancah sukan permotoran tempatan dan pasukan Yuzy Honda Racing berbesar hati untuk menggunakan khidmatnya.

"Sudah dua tahun dia tidak berlumba, jadi penajanya mungkin akan menarik diri.

"Dengan segala desas-desus timbul, Zaqhwan perlu mempersiapkan dirinya jika tiada pasukan di peringkat Asia.

"Jika dia ingin berlumba semula dalam kancah tempatan, Cub Prix, dan memandangkan Yuzy Honda Racing adalah pasukan pertamanya dan saya yang mendidiknya, sudah pasti saya akan terimanya kembali." kata legenda permotoran negara itu.

Kali terakhir Zaqhwan mewakili pasukan itu adalah pada musim 2019.